Mark Koding

Yang Berhormat

Mark Koding
Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah
untuk Ranau
Dalam jawatan
1985–1989
Didahului olehJirin Saliun
Digantikan olehSiringan Gubat
Anggota Parlimen Malaysia
untuk Kinabalu, Sabah
Dalam jawatan
1978–1986
Didahului olehAbdul Ghani Gilong
Digantikan olehKasitah Gaddam
Butiran peribadi
Lahirc.1950-1951
Kampung Kituntul, Ranau, Tanah Jajahan Mahkota British Borneo Utara
Meninggal dunia17 September 2002[1]
Kampung Matan, Ranau, Sabah
Parti politikBerjaya (1978-1984)
PBS (1985-1989, 1998-1999)
AKAR (1989-1998)
UMNO (1999-2002)
Sekutu gabungan
politik lain
BN (1978-1984, 1986-1998, 1999-2002)
PekerjaanAhli politik

Mark Koding (c.1950-1951 - 17 September 2002) merupakan seorang ahli politik di Malaysia. Berasal dari Sabah dan berketurunan Dusun, Mark yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya pada 1976, pernah menjadi seorang majistret sebelum memasuki politik. Beliau telah menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1978 bagi kawasan Kinabalu, negeri Sabah. Memasuki pilihanraya atas kapasiti ahli politik bebas, beliau telah disokong dalam kempennya oleh Parti Berjaya menentang Menteri Kerja Raya ketika itu Abdul Ghani Gilong dari USNO, dan setelah dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabalu, telah menyertai Berjaya. Mark juga telah menang bertanding dalam Pilihan raya negeri Sabah 1985 bagi kawasan Ranau, dan telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, sebelum dipecat pada 1989 dan mendorong beliau untuk meninggalkan Parti Bersatu Sabah yang diwakilinya sebelum itu.[2] Beliau pernah menganggotai Parti Berjaya, Parti Bersatu Sabah, Parti Angkatan Keadilan Rakyat (parti ditubuhkan beliau) dan UMNO.[3]

Mark pernah dituduh mengikut Akta Hasutan 1948 dan didapati bersalah oleh Mahkamah pada 1982, kerana telah mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular, menggesa sekolah ini ditutup dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil pada nama jalan dimansuhkan, dalam ucapannya di Parlimen pada 1978.[4] Namun beliau telah diberi perlepasan tanpa direkodkan kesalahan, dan hanya diletakkan dalam bon berkelakuan baik selama tiga tahun, mengikut seksyen 173A Kanun Acara Jenayah. Berikutan keputusan ini Mark masih kekal menjadi Ahli Parlimen Kinabalu.

Beliau telah berkahwin dengan Helen Koding @ Luin Richard, dan telah dikurniakan 4 orang anak.[5] Mark juga telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah pada 2002. Mark telah meninggal dunia pada September 2002 semasa berumur 51 tahun, manakala Helen telah meninggal dunia pada Disember 2011. Anak beliau, Vitos telah mengikut jejak langkah Mark sebagai ahli politik.[6] Vitos pernah bertanding untuk parti Pasok (menggunakan logo Bebas) dalam pilihan raya umum Malaysia 2008 di Ranau, kawasan pernah diwakili Mark, tetapi tewas kepada calon BN.[7]

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ http://lib.perdana.org.my/PLF/Digital_Content/Prominent_Leaders/Mahathir/News_1968-2004/2001-2005/2002ko/mam%20di%20dusun.pdf
  2. ^ https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/beritaharian19890926-1.2.11.1.2
  3. ^ http://lib.perdana.org.my/PLF/Digital_Content/Prominent_Leaders/Mahathir/News_1968-2004/1999-2000/1999pz/pbs%20st%20joins%20umno.pdf
  4. ^ https://www.malaymail.com/news/what-you-think/2014/10/13/vernacular-schools-under-the-federal-constutition-k.-siladass/762767
  5. ^ https://www.dailyexpress.com.my/news.cfm?NewsID=79979
  6. ^ https://akimomogun.blogspot.com/2007/10/like-father-like-son-kings.html
  7. ^ https://undi.info/seat/SB.P.RANAU